Wednesday, February 26, 2014

Memali ; Masihkah Kau Ingat





Hari ini genap 28 tahun berlakunya peristiwa berdarah Memali iaitu pada tanggal 19 November 1985.

Kebetulan pada hari Sabtu lepas saya digabungkan dengan sahabat karib saya Ustaz Islah Ibrahim di dalam satu forum, beliau ialah anak sulung kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood, individu yang menjadi sasaran dalam operasi oleh pihak keselamatan di Memali.

Beliau menceritakan pengalaman yang dilaluinya sendiri ketika berlakunya peristiwa itu sehingga menitiskan air mata, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Ayahnya yang merupakan seorang ulama lulusan ugama universiti terkemuka di Libya dan pernah menuntut di Mesir dan India.

Setelah kembalinya ke tanahair pernah bertugas di jabatan-jabatan ugama Islam di bawah kerajaan. Tetapi ilmunya tidak mengizinkannya untuk berdiam diri melihat ugama Islam dagang di kalangan penganutnya, beliau bangkit menegur dan menasihati kerajaan supaya kembali ke pangkal jalan.

Tindakannya ini dituduh sebagai pelampau, bersekongkol dengan pengganas Komunis, penganut ajaran sesat dan lain-lain lagi tuduhan jahat sehingga membawa kepada operasi berdarah Memali.

Dalam operasi itu As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood bersama-sama 13 orang lagi temannya mati dibunuh oleh anggota keselamatan kerana dituduh mengancam keselamatan negara. Kampung Memali yang damai bertukar menjadi medan perang, anggota-anggota keselamatan yang lengkap bersenjata dan disokong oleh kereta-kereta perisai berdepan dengan orang kampung yang kebingungan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Adakah orang yang hanya 'bersenjatakan' lidah menegur dan menasihati kerajaan dianggap mengancam keselamatan negara?

Inilah melampau namanya!

Kenapa pihak keselamatan negara boleh berunding dengan penceroboh Sulu yang mendarat di Sabah lengkap dengan senjata tetapi tidak diberikan hak yang sama kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk Kampung Memali?

Kenapa Ayah Pin yang jelas sesat dengan kerajaan langitnya masih lagi bebas dan tidak dikenakan apa-apa tindakan?

Kalaulah beliau betul-betul pengganas kenapa YDPA, Sultan Kedah mencemar duli menziarahi perkuburannya di Parit Panjang?

Kalaulah beliau betul-betul sesat kenapa Al-Marhum Tuan Guru Hj Yahya Junid mengisytiharkan beliau dan teman-temannya adalah syuhada'?

Kalau tidak syahid dunia dan akhirat paling kurang syahid akhirat kerana mati mempertahankan nyawa, keluarga dan kampungnya daripada penceroboh. Bukankah Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam satu hadis yang mafhumnya; barang siapa yang mati kerana mempertahankan nyawanya maka dia adalah syahid.

Peristiwa ini kekal menjadi titik hitam sejarah negara yang tidak boleh dipadamkan. Walaupun 28 tahun sudah berlalu keadilan kepada mangsa-mangsa peristiwa Memali dan keluarga mereka masih lagi belum dilunaskan.

Di akhir pertemuan saya dengan Ustaz Islah saya terkedu apabila mendengar kata-kata beliau dengan teresak-esak menyebut; walaupun di atas dunia ini mereka yang bertanggungjawab boleh terlepas tetapi tunggulah perbicaraan di hadapan Allah Tuhan yang Maha Besar di Padang Mahsyar kelak.

"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka Allah leka terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnnya kami lambatkan mereka sehinggalah kepada hari terbeliak mata-mata (kerana melihat azab Allah di hadapan mereka)." (Surah Ibrahim: 42)



### Sekadar saya salin dan lampirkan di sini ###

4 comments:

  1. Salam 26 Rabiul Akhir 1435H saudara yang dirahmati ALLAH. Perkongsian peristiwa Memali yang berlaku 29 tahun lalu, seharusnya masih segar dalam ingatan kita semua. ALLAHU AKBAR!

    Peristiwa berdarah MEMALI yang berlaku 6 Rabiul Awal 1406H yang mulia seharusnya kita jadikan penguat semangat dan pemangkin untuk meneruskan perjuangan para syuhada'. Mereka telah dipanggil kembali mengadap Yang Maha Kuasa kerana tugasan mereka telah selesai di dunia ini. Kita yang masih berada di sini perlu meneruskan perjuangan mereka. ALLAHU AKBAR!

    Selamat Berjuang sahabat!

    "Dan Dialah ALLAH (yang disembah), baik di langit maupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu USAHAkan." (QS. Al-An'am, 6:3)

    "Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendakiNya. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS. Ali Imran, 3:6)

    ReplyDelete
  2. ada cerita sebalik tabir yang belum terungkai dalam kisah ini barangkali....

    ReplyDelete
  3. Cerita di sebalik tabir yang masih dalam rahsia dan pengetahuan Dia Yang Maha Tahu...

    ReplyDelete
  4. Sesudah 25 tahun kini
    Masih kami kenangi
    Kelopak kenangan membasah
    Tak terasa cerita lama berlalu
    Ia cuma angka dan detak masa
    Yang menghitung dosa penguasa
    Dan merapatkan syuhada dengan-Nya

    Di perkuburan wangi kemboja
    Di sela-sela harum darah syuhada
    Adalah kelopak kenangan sedih
    Dalam gugusan ingatan pedih
    Dalam siraman semerbak doa putih

    Ia cuma angka dan detak masa
    Menyimpan peristiwa bersejarah
    Memori tragedi berdarah

    Memali adalah kembang yang tidak mati-mati
    Persis bunga taman syurga yang harum semesta
    Tak pernah doa kami lupa; moga dagang mereka
    Dagang terpilih di depan Rabbi.

    ©Puisi Kecil kepada Memali. Negeri Kunang-Kunang. Ridzuan Harun (2013)
    -20 Rejab 1435H-

    ReplyDelete