Tuesday, December 20, 2022

Monday, August 1, 2022

Mereka Kata Merapu

















kisah dulu
kenang selalu
riangkan hatimu
kerana, dulu suka dulu

tapi hidup tidak berhenti
kecuali mati

maka, kenanglah selalu
segenap tulisan dalam buku 
sejarah hidupmu
biar jadi ilmu
atau barangkali jadi tahu
akan landasan hidup yang sentiasa berliku

izinkan aku merapu

Thursday, July 28, 2022

RAMAI RABUN


 rabun, adakala nampak tidak jelas

adakala nampak jelas, buat-buat tidak jelas

adakala tahu rabun, tidak mahu pakai kaca mata

Sunday, February 13, 2022

Jangan lupa, jangan riak dek seronok

 


Apa kala kita berada di tempat tinggi, biasanya kita rasa seronok. Pemandangan kelihatan indah, banyak benda kita dapat lihat. 
Tapi ingat, jangan terlalu seronok. Banyak benda yang terlihat dek mata kita. Maka banyak benda yang akan dipersoalkan kelak. 
Banyak yang kita nampak, banyak yang perlu kita jawab. Bukan sekadar mendepa dada dengan rasa bangga dan seronok.

Moga yang berada di tempat tinggi, tidak gayat dan tidak lupa.

Sunday, January 30, 2022

Musafir malam

Bermusafir menyusur 2/3 malam, tersapa kenangan 'sekaki payung, secangkir kopi dan hujan senja' satu ketika dahulu. Seakan ada rindu bertamu, terpaksa biarkan ia berlalu.



Monday, January 24, 2022

Sesekali Menyapa Ombak Satu Malam; Mendekat Syukur

 Pada 21 - 22 Januari 2022, sekadar melangkau sempadan daerah, saya dan dua orang sahabat (Wak Esa dan Ustaz Olan) menunggang ke lokasi tujuan. Tujuan petualang kami kali ini ke Teluk Gorek Chalet and Camp Site di daerah Mersing, Johor. Kami mulakan perjalanan lebih kurang pukul 3:45 petang.Berpandukan GPS yang sudah ada dalam ingatan kami, kami susur aspar berliku dengan pemandangan nyaman. Tolehlah ke kiri dan kanan, flora hijau sepanjang kami menunggang. Tunggangan 'ambil angin' berselit selawat dan zikir dengan penuh waspada di bawah lindungan dan jagaan Al Khaliq. 



Sebuah warung di Felda Nitar kami singgah untuk 'menyegar' tekak dan semangat. Secangkir kopi setiap seorang dengan sepinggan pisang goreng dan ubi rebus. Seronok berbual singkat dengan penduduk felda di sini yang kebetulan berehat di warung itu. Sedikit pesanan daripada orang lama agar kami sentiasa berhati-hati sepanjang perjalanan.





Kami jejak pasir dan menyapa ombak Pantai Teluk Gorek lebih kurang pukul 6:15 petang. Sahabat kami, Mr. Draco dan keluaraganya sudah semalaman berteman dengan angin pantai di situ. Sebetulnya, kami tumpang program mereka. 




Angin petang Laut China Selatan menyambut salam kami. Secangkir kopi o kosong panas peneman bicara tentang laut petang di atas kerusi lipat yang kami bawa.



Reda rintik bicara tentang laut petang, kami membangun khemah dengan pengetahuan yang kecil namun dapat jugalah khemah dikembangkan dan dipacak dengan sempurna. 



Berdiri khemah dengan sempurna, hasil keinginan dan usaha walau cuma sedikit pengetahuan.  Beginilah, dalam hidup sentiasalah belajar dengan keinginan dengan imbangi keseronokan.


Ombak yang melambai jauh kini makin menghampiri tembok pemecah ombak, menandakan di sini air pasang senja. Senja membawa salam malam. Suasana senja dan malam di mana-mana pantai begitu syahdu dan nyaman, dengan hembusan angin kadangkala lembut kadangkala mengolak rerambut. Saya dan Ustaz Olan duduk di kerusi, silang kaki, mengahadap laut. Seru saya juga kalian, duduklah di kerusi atau di atas pasir, hadaplah laut, berlembutlah dengan angin menyentuh kulit, renunglah ombak yang tidak pernah jemu mendatangi pantai, hiruplah udara segar tanpa  bayaran. Dengan secangkir kopi o, berbicaralah tentang kebesaran Sang Pencipta. Kenanglah nikmat yang diberi. Jangan sesekali dustai nikmat Tuhanmu.


Ucap syukur atas nikmat hidup dan keindahan alam malam. Secangkir lagi kopi, menyorot ombak datang dan pergi, berbisik rindu pada angin malam, kami berbicara soal kehidupan, tersurat dan tersirat.


Di tempat sebegini, kurangkanlah tidur waktu malam. Beribadahlah walau dengan ucap syukur menatap indahnya alam ciptaanNya. Waktu sebegini tenang dan damai, lepaskanlah zikir dan selawat yang mungkian kita tidak buat di rumah pada waktu-waktu sebelumnya. 


Dalam ulit dingin angin disapa fajar Subuh, sangat tenang untuk kita relakan kulit dibelai bayu. Kami bangkit dari tidur lebih kurang pukul 5:45 pagi lalu persiapkan diri untuk mengadap Sang Pencipta segala sesuatu. Solat di atas pepasir pantai berbumbungkan langit, berdindingkan alam begitu menenangkan. Damai lembut menyamani jiwa. Usai berwirid dan bermohon, kami bersuluk dalam diri mengadap laut lepas berwarna jingga menyambut matahari mula menjengah. Ah, terlalu indah. Terlalu tenang. Angin masih lembut menyentuh kulit. Dinginnya kian melembut. Memerhati matahari makin hilang malu, kian menampakkan wajah penuh baktinya.








Dua buah sampan sedari semalam masih setia di situ. Semalaman berolak diusik ombak air pasang, pagi ni kembali tenang. 





Alam indah pantai Teluk Gorek kami tinggalkan kira-kira jam 11.00 pagi. Kami perlu meneruskan kelangsungan hidup, kembali berperang dengan emosi dan himpitan masa. Saya kembali ke rutin kerja selagi belum bersara. Ustaz Olan kembali ke rutin kelas dan perniagaan sabun yang diusahakan bersama-sama keluarga bahagianya. Aabg Esa kembali ke kebun tebunya, warna-warna orang bersara wajib dari dunia pekerjaan rasmi.





Wasalam...













Thursday, January 20, 2022