Sunday, September 25, 2011

Tiada cerita

Kebelakangan ini saya seakan tiada cerita untuk diceritakan walau banyak cerita terkisah...

Thursday, May 19, 2011

Leo AWS : Guruku, Penyajak Gigih

Hari raya puasa tahun 2009, tanpa aku duga aku bertemu kembali salah seorang bekas guru yang pernah mnyemai benih-benih ilmu pada usia remajaku di SMK. Beliau yang pernah menabur benih segar ilmu sedari aku di tingkatan 1 hingga tingkatan 4. Beliau seorang guru yang aku kagum, dengan senyum sentiasa terukir di bibirnya melawan gegak kerenah remaja kami sekelas.
Hajat saya menolong adik saya menyampaikan kiriman daripada SN Prof Muhamad Hj. Salleh (adik saya Pegawai Penyelidik di bawah seliaan Prof Muhamad pada ketika itu) kepada seorang penyajak kelantan, dan saya yang menawarkan diri untuk menjemput penyajak tersebut ke rumah dari satu tempat. Dan di sinilah saya dapat berjumpa dengan seorang bekas guru yang sekian lama aku terkenang-kenang. Rupanya guru saya ini masih aktif berjuang di medan puisi seperti dulu. Kami berkesempatan bercerita serba sedikit tentang alam puisi. Sempat sedikit saya menyelongkar perit jerih perjuangan guru saya ini di hijau padang sastera negara. Setelah bersegaran kira-kira sejam dengan secawan kopi o dan cerita-cerita perjuangan dan kembara hidup di rumah saya, guru saya memohon untuk pulang. Saya dihadiahi senaskhah buku terbaru karya beliau, diterbitkan sendiri oleh beliau.Terima kasih cikgu. Terima kasih yang sebenar luas atas ilmu yang ditumpahkan selama ini. Terima kasih cikgu...

Apa lagi.......

...tiada apa yang tertinggal...semua sudah tertanggal daripada impian...

Monday, April 11, 2011

Sesuatu yang semakin hilang

Kad undangan kahwin dan budaya

oleh RAHMAN SHAARI
2/20/2011 2:57:25 AM
Ini ialah kisah kad undangan ke majlis perkahwinan. Saya tidak dapat memastikan sejauh manakah kisah kad ini penting bagi pembaca. Mungkin ada menganggap kisah ini tidak penting, jika demikian ketepikan saja.
Ketika singgah di rumah sahabat saya (Karim) di Lumut; dia, isteri, anak dan menantunya sedang bercakap-cakap tentang kad undangan perkahwinan. Mereka menerima kad undangan, tetapi tidak bertulis nama orang yang diundang. Oleh sebab hubungan kami akrab, ketika tiba mereka tidak mengubah tema percakapan. Saya bukan saja mendengar, malah menonton aksi mereka. Saya pun teringat akan pengalaman sendiri.
Dalam kes Karim dan keluarganya, pihak mengundang memesan kad undangan yang cantik dan memberikan kad itu kepada sesiapa yang diingatinya, tempat nama itu dibiarkan begitu. Tuan rumah itu sedikit pun tidak terfikir bahawa yang penting bukannya kad cantik, tetapi nama pihak yang akan diundang.
Saya minta kad itu. Inilah bunyi tulisan bercetak: Zaifran Zainol dan Miazara Muluk mempersilakan ________ ... seisi keluarga ke majlis perkahwinan anak kami pada hari Sabtu 19 Mac 2011. (Ditulis alamat dan juga atur cara majlis.) Tempat kosong itu tidak diisi, bawa makna, pihak yang mengundang itu tidak jemput sesiapa pun. Dia hanya memberi kad yang cantik itu untuk dibaca, dan mungkin elok dimasukkan ke dalam album atau frame. Tidaklah dapat saya putuskan, apa makna perlambangan ini.
Saya tidak tahu, adakah pembaca akhbar ini berpengalaman menerima kad undangan tanpa nama. Saya sendiri pernah, tetapi apabila sahabat bercakap panjang tentang perasaannya, barulah saya teringat perasaan sendiri ketika menerima kad bogel begitu tiga tahun lalu. Saya berasa malu menerimanya, dan keputusan; tidak pergi! Habis cerita.
Karim bercakap panjang lebar tentang kad tersebut, bererti dia tersinggung. Katanya, orang sekarang sudah tidak ambil berat soal corak hubungan antara satu dengan lain. Pemberi kad itu ialah anak saudaranya. Bukankah elok panggilan Pak Lang Karim Maaruf ditulis di tempat berkenaan. Semua bapa saudara akan berasa besar hati, bangga dan gembira apabila nama (berserta panggilan kekeluargaan) ditulis di situ. Jika kad tanpa nama, “…hendak dibaca kali kedua terasa sebak dada,” kata Karim.
Walaupun kad jemputan adalah tradisi moden, penerimaannya meluas sekali dalam masyarakat kita. Bagi sesetengah orang, kecantikan kad itu diutamakan, sehingga mereka tidak sanggup menulis nama Makcik Besah, Maklong Hasnah, Paksu Kamal, Pakcik Razak dan lain-lain. Namun kita dapat mengagak, jika kad itu hendak dihantar kepada seseorang yang ada gelaran (Datuk atau Tan Sri), nama dan gelaran itu ditulis dengan baik. Paklang, Pakcik, Makngah dan lain-lain adalah orang biasa, buat apa dituliskan? Itulah fikiran moden yang sesat.
Teringat pula kad undangan diterima kakak sepupu saya, Kak Latifah. Ini cukup memilukan - kad daripada anak sendiri, dan tempat nama itu diisi perkataan ‘Mak Pah’. Sampai hati anaknya menuliskan ‘Mak Pah’, panggilan yang menunjukkan jauh hubungannya dengan ibu sendiri. Kak Latifah hanya tersenyum pahit.
Orang paling sedih dalam keseluruhan cerita di atas tentulah Kak Latifah. Namun, dia tidak memanjang-manjangkan cerita, dia menerima saja kejadian itu. Di sebalik yang berlaku bukannya penderhakaan, cuma kejahilan akal dan kemalapan emosi. Kak Latifah mungkin sudah melupakan hal itu, kerana anaknya baik. Anak yang baik akan lebih baik jika mengenal budaya sedalam-dalamnya.
Kesimpulannya, jika kita menempah kad undangan perkahwinan, hendaklah bersedia untuk duduk berjam-jam menulis nama dan panggilan hormat kepada setiap yang diundang. Sia-sialah kad diberikan jika penerima berasa tawar, apatah lagi tersinggung, malah sedih.

(Petikan daripada ruangan Kolumnis Sinar Harian, 23 Feb 2011)

Hari ini jemputan lagi senang, sms.kihkih...

Inilah hasilnya bila membelakangi yang lama, mengubah apa yang agama saran...

Salah ibu bapa murid jadi samseng

oleh ABDUL JALIL ALI
3/10/2011 8:16:11 AM
Sekolah nampaknya bukan lagi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Kisah pelajar didera dan dibuli teman sekolah bukan lagi satu kes terpinggir. Dari semasa ke semasa kita mendengar dan membaca mengenai murid-murid diserang dan dibelasah dalam kawasan sekolah.
Terkini media melaporkan perihal samseng sekolah menunjuk belang secara terang-terangan di hadapan mata di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi di Kangar Perlis. Mangsanya ialah Muhamad Shahfaly Anoar, 15.
Murid Tingkatan Tiga itu sedang mengikuti pelajaran di bilik darjah Jumaat lalu apabila seorang murid datang menariknya ke luar di mana sekumpulan 10 pelajar sedang menunggu. Dia dibelasah sehingga retak tulang tangan, lebam di beberapa bahagian tubuh, dan menerima beberapa jahitan.
Laporan polis telah dibuat dan empat pelajar telah direman untuk membantu siasatan. Harap-harap siasatan segera berakhir dan samseng sekolah itu dijatuhi hukuman setimpal dengan jenayah yang mereka lakukan. Jangan ada belas, jangan ada tolak ansur.
Sementara polis menyiasat, beberapa pertanyaan perlu dijawab oleh pihak berkuasa – termasuk pentadbiran sekolah – untuk menenteramkan ibu bapa. Sekiranya perkara ini disembunyikan mungkin ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.
Pertama, bagaimana serangan di dalam bilik darjah itu boleh berlaku tanpa seorang pun tampil ke hadapan untuk memberi bantuan? Muhamad diseret keluar dari bilik darjah jam 11 pagi itu di hadapan rakan-rakan sekelas yang lain.
Apakah tidak seorang pun pelajar prihatin dan simpati dengan nasib rakan sekelasnya? Kalau pun tidak dapat menarik balik rakannya, sekurang-kurangnya ada yang berani menjerit untuk memberitahu guru dan kelas lain mengenai serangan itu.
Kedua, bagaimana guru yang berada di kelas tersebut – menurut laporan akhbar dia sedang mengajar di hadapan kelas – langsung tidak berbuat apa-apa. Apakah betul dia tidak nampak serangan tersebut?
Ketiga, bagaimana serangan sekumpulan 10 orang pelajar di luar bilik darjah langsung tidak dipedulikan oleh murid atau guru kelas-kelas lain. Apakah semuanya terlalu asyik belajar sehingga tidak nampak serangan yang mencederakan itu?
Saya tidak fikir penyerang tersebut menggunakan ilmu pukau atau ilmu sihir sehingga membuat semua orang gamam atau tidak sedar. Saya lebih yakin masing-masing tiada rasa prihatin, tidak ada simpati dan tidak ada tanggungjawab.
Keempat, menurut laporan ayah mangsa kepada polis, pihak sekolah langsung tidak berusaha memberi rawatan kepada anaknya yang cedera. Mangsa menderita kesakitan seorang diri sehingga dijemput oleh ayahnya setelah tamat waktu sekolah.
Bayangkan anak kita mengerang kesakitan, luka dan retak tulang, tidak ada seorang murid atau seorang guru sudi menolong. Sekiranya benar seperti yang dilaporkan malang benarlah pelajar tersebut. Apa sebenarnya telah terjadi di sekolah kita sekarang? Di mana hilangnya rasa kemanusiaan kita?
Muhamad boleh sahaja mohon ditukarkan ke sekolah lain. Tetapi kejadian malang ini tidak semestinya berakhir begitu sahaja. Sebelum ini pun kita sudah mendengar banyak kisah serangan dan buli seperti ini. Apakah tindakan telah diambil ke atas samseng, juga ke atas pihak sekolah?
Seperti yang diketahui umum wujudnya samseng dalam kalangan pelajar bukan lagi satu rahsia sekarang. Biasa sangat kita mendengar pelajar merosakkan harta benda sekolah, mencalarkan kereta guru, menumbuk guru, malah sudah ada yang berani membakar bilik guru. Semua ini menunjukkan betapa disiplin murid di sekolah sudah menjunam ke tahap paling bawah. Cikgu sudah tidak lagi berupaya memperbaiki perangai murid, maka semuanya dilepaskan begitu sahaja. Cikgu takut untuk bertindak terhadap murid yang kurang ajar.
Ibu bapa boleh memainkan peranan memperbaiki disiplin murid. Pada hemat saya disiplin bermula di rumah, bukan di sekolah. Lagi pula masa murid lebih banyak di rumah berbanding di bilik darjah.
Zaman saya sekolah dulu-dulu, guru dibenarkan merotan. Apabila saya dirotan atas kesalahan tertentu, termasuk tidak membuat kerja sekolah, saya tidak berani mengadu kepada ayah. Sebab kalau saya mengadu, ayah akan menyebelahi cikgu. Kalau nasib tidak baik, ayah pula akan merotan saya sekali lagi.
Sekarang tidak semua guru ada kuasa merotan. Kalau ada guru yang mencubit atau mengetuk tangan murid dengan pembaris, ibu bapa akan mengamuk di sekolah, tidak fasal-fasal guru kena tukar sekolah. Ibu bapa sekarang terlalu memanjakan anak, dan tidak akan menerima hakikat bahawa anak mereka nakal. Sikap ibu bapa seperti inilah yang mendorong pelajar kita menjadi samseng.

(Petikan daripada Ruangan kolumnis, Sinar Harian , 10 Mac 2011)




**** ****************************
sama-sama fikirkan

Thursday, February 24, 2011

Aduh Sedapnya Kecewa Ini

Saya sudah merasa nikmat sebenar kecewa. Sangat sedap. Tidak pernah saya rasa sesedap ini sebelum ini.
Teringin juga saya ucapkan  terima kasih kepada si pemurah yang memberi saya kecewa ini. TERIMA KASIH KERANA MEMATANG DAN MEMATAHKAN AKU.

Sunday, February 20, 2011

Mantra-Dendam dan aniaya


 Sedikit sinopsis tentang filem ini. Kisah tentang Muzir dan Ani yang hidup bahagia sebagai suami isteri. Dalam pada itu, Hasbi menyimpan perasaan terhadap Ani dan brusaha merampas Anidaripada Muzir. Hasbi yang juga pengamal ilmu hitam mengenakan sihir terhadap Muzir dan Ani serta memfitnah Muzir sehingga Muzir di cop seorang pengamal ilmu hitam dan dipenjarakan. Hasbi berjaya menakluki Ani. Selama 10 tahun Muzir dalam penjara, suara ghaib ilmu hitam menggoda Muzir menimbulkan dendam terhadap perbuatan Hasbi. Muzir akhirnya tewas dengan pujukan syaitan. Dia belajar dan mengamalkan ilmu hitam semasa di dalam penjara. Dengan ilmu hitam tersebut, Muzir dapat melolos keluar daripada penjara dan mengatur langkah menuntut kembali haknya daripada Hasbi. Hasbi berusaha mempertahankan diri dan 'hak' Muzir dengan ilmu hitamnya. Pertarungan mereka berakhir dengan kemusnahan kedua-duanya.

Timbul persoalan lain yang saya fikir cuba ditonjolkan dalam filem ini selain daripada kesalahan bersekongkol dengan syaitan. Kenapa perlu wujudnya orang seperti Hasbi, menakluk dan merampas hak orang lain dengan cara menganiaya. Menganiaya Muzir yang tidak bersalah untuk menakluk Ani. Kerana wujudnya orang seperti Hasbi yang mendorong wujudnya orang menjadi Muzir.
Orang yang tiada apa-apa akan terus teraniaya. Dendam jalan penyelesaian pembalasan bila akal kekontangan iman. TANPA DENDAM LEBIH MULIA. BIAR TUAN KITA YANG MENENTUKAN HUKUMAN DAN PEMBALASAN.

Thursday, February 10, 2011

Di mana Teja?

Megat, Masih Sempatkah Mengejar Teja

Jika berkesempatan, Megat
segeralah mengejar Teja
sebelum kau hilang segala
jejaknya masih jelas
kerana di situ ada cintamu.


Sebelum terlewat, kejarlah Megat
bayang Teja yang belum menjauh
kerana di dalam tubuhnya
berkapukan maruah lelakimu.


Tanda darah kita

(Petikan daripada Kumpulan Puisi Remaja Suluk Cinta , karya seorang sahabat, Saudara Ridzuan Harun. DBP 2008)


Aku tidak mampu menjejak Tejaku. Telah ku cuba mengejar Tejaku, telah ku cuba tawan kembali Tejaku, tapi Tejaku makin menjauh. Aku seakan sudah hilang jejak Tejaku. Biarlah aku berdiri di sini sahaja bersama bahteraku yang terkandas, menyimpan kejap kisah Teja yang tiada galang ganti. Kerana aku tidak sesekali melepaskan Teja. Biarlah Teja pergi jika itu kehendak Teja. Dan aku Megat, akan menunggu Teja di sini.

Monday, January 31, 2011

Parasit


Parasit tetap gah bermuka manis senyum menghisap peluh dan darah...siapa salah? membela parasit di pucuk segar...Ia tetap diangkat, diletakkan di situ, walau bahana menunggu....

Saturday, January 29, 2011

TV Kita Wajah Indon

Kita ini terlalu baik hati. Sampah mereka kita kutip dan gantung di dinding rumah hingga menyemak pandangan, meloya mata.
Di mana tempat 'potret' kita pada mereka? Adakah terpampang tergantung di dinding pondok mereka?

Baik berpada-pada....walau kita tidak jahat...

Masih murnikah???





Ia akan terus berada di tempatnya, tapi ertinya jika keasliannya di carik-carik?
Kebanggaannya di pijak oleh si pendek ilmu berlagak pahlawan...
Tiba di halaman bapak-bapak pejuang pengecut menunjuk keris tumpul, berpencak pondan, sudahnya tolong carikkan keasliannya....
...dimurnikan...masih murnikah jika tuan telah membuatkan ia sumbing?

Wednesday, January 26, 2011

Daripada Kolumnis Sinar Harian 26 Jan 2011

Interlok: Mencari Abdullah Hussain

oleh ELVIZA
1/26/2011 11:31:08 AM
Sekiranya kisah pelacur dalam novel Salina dan cerita si petani bukit, Lahuma, dalam Ranjau Sepanjang Jalan, telah membikin saya jatuh cinta dengan sastera Melayu, novel The Adventure of Huckleberry Finn pula, telah merintis jalan pembacaan saya dalam kesusasteraan kontemporari Amerika.

Dalam novel yang mengisahkan perihal dua budak lelaki, Tom Sawyer dan Huckleberry Finn itu, perkataan ‘nigger’ telah digunakan tanpa had dan sempadan, dalam huraian kisah yang ditempatkan di tebing Sungai Mississippi itu.

Perkataan ‘nigger’ yang dikira kurang ajar dalam peradaban moden hari ini, menjadikan novel itu didebat hebat dalam kalangan rakyat Amerika. Baru-baru ini, saya dapat berita, cetakan terbaru novel itu menukar terma ‘nigger’ kepada ‘slave’.

Bagi saya, manusia ini aneh sekali. Perkataan ‘nigger’ dan ‘slave’ itu, walaupun berkaitan, tidak sama maknanya. Kenapa perlu diubah karya sebegitu hebat atas nama hipokrasi dan kerana ingin menjadi politically correct?

Kenapa saya memilih berbicara soal novel tulisan Mark Twain itu, minggu ini? Sebenarnya, hati sedang menggelegak dengan sesetengah pihak sedang rakus mempolitikkan novel Interlok yang guna perkataan ‘paria’ dalam jalan cerita.

Mereka yang paling kuat menyalak agar novel itu digugurkan sebagai teks sukatan pelajaran kebangsaan atau diharamkan terus, entahkan sudah membaca keseluruhan novel, atau tidak. Mengambil kira kenyataan mereka di dada media, saya ingat mereka ini belum pun habis membaca Buku Satu tentang keluarga Seman dalam Interlok itu.

Pertama sekali, kita jangan jadi orang buta pengetahuan, perkataan ‘paria’ (seperti juga perkataan ‘nigger’) ada definisinya dalam kamus. Tidak payah saya menjadi burung belatuk mengulang maksud perkataan itu yang juga ada sejarahnya, ada susur galur dan asal terma-terma sebegitu digunakan dalam lenggok bahasa percakapan kita seharian.

Kedua, Interlok itu genrenya fiksyen. Kalau sesiapa ingin mencari maklumat tentang sistem kasta atau asal perkataan ‘paria,’ sila cari rujukan sejarah, bukan fiksyen. Dalam fiksyen tidak semua perlu masuk akal atau disokong dengan fakta tepat. Anda fikir, bila J K Rowling menulis lalu menjadikan Harry Potter dan rakan-rakan sekolah beliau terbang atas penyapu ajaib itu, masuk akal?

Mengharamkan Interlok, menggantikan perkataan ‘paria’ dengan sesuatu yang lain, hatta menarik teks itu dari sukatan pelajaran kebangsaan tidak akan mengubah apa-apa. Integrasi antara tiga kaum utama di negara ini pernah diduga dan telah melalui pelbagai cabaran melalui sistem pecah dan perintah.

Kita jangan jadi Pak Pandir, perkara mengharamkan buku tidak akan dapat memadamkan sejarah, menyangkal hakikat atau menjadi cermin kepura-puraan bahawa perihal integrasi kaum di negara ini, kononnya molek-molek belaka.

Sebaliknya ia akan menjadikan generasi di bawah kita menjauhi sejarah dan enggan mengambil iktibar dari apa pernah berlaku. Mereka tidak akan faham kenapa perkataan ‘paria’ itu dianggap taboo, tanpa mengetahui bagaimana terma itu boleh digunakan pada asalnya. Abdullah Hussain (Datuk) telah menegaskan bahawa, sebagai seorang penulis beliau bertanggungjawab untuk membentuk pemikiran masyarakat melalui karya-karya beliau. Abdullah berpendapat semangat muhibah antara kaum India, Cina dan Melayu ketika itulah telah membentuk Malaysia pada hari ini.

Apa yang membuat saya tergelak besar ialah kenyataan Presiden MIC: “There is no consensus to say the book was in line with the 1Malaysia spirit. People should not be made to believe this. If so, we are in for a big setback.” Aduhai… Karya sastera yang ditulis pada 1971 juga perlu menurut konsep 1Malaysia, Datuk G Palanivel?

Walau bagaimanapun, saya tidak kepingin untuk mengulas kelakuan sekumpulan manusia yang membakar naskhah-naskhah Interlok di hadapan Majlis Perbandaran Klang baru-baru ini, kerana saya enggan membuang masa mendidik orang jahil pengetahuan dan tidak tahu menghormati buku. Mereka ini saya anggap nyamuk semata, ilmu tiada, bunyinya pula bising dan selalu menyusahkan orang.

Mungkin saya jahil dalam sudut politik dan penggunaan perkataan-perkataan sesuai. Mungkin juga saya menggunakan elemen emosi untuk membela karya-karya penulis tempatan dan antarabangsa. Tetapi tidakkah kita terfikir – hanya untuk seketika – karya itu hak mereka, idea mereka, dan pernah menjadi ‘kekasih’ mereka. Siapa kita untuk mengharamkan atau menukar apa-apa? Ukur baju di badan sendiri, duhai politikus bijaksana.

Seperti pesan Pak Abdullah ketika diwawancara baru-baru ini: “Baca secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis.”

• Elviza Michele Kamal juga seorang peguam dan pencinta seni.


(hujahnya mengalir kebenaran... katanya isi perjuangan)